BERITA TERKINI !!!!
03 Oktober, 2009 17:45 PM
Kenshido Akan Lebar Sayap Ke Pasaran Asia
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kenshido International Sdn Bhd, syarikat tempatan pertama meneroka ke dalam pendidikan dalam talian (pendidikan web) pada 1999, bercadang melebarkan sayapnya ke tujuh negara Asia pada suku pertama 2010.
Syarikat itu optimistik usahanya ke pasaran antarabangsa akan berjaya memandangkan ia akan memperkenalkan produk bahasa Inggeris dalam talian sebagai bahasa kedua (E-esl) awal tahun depan.
"E-esl akan disediakan mengikut sukatan pelajaran negara yang akan kami tembusi. Kami mahu menumpukan ke pasaran Asia sebelum berkembang ke rantau lain.
"Kami kini di peringkat awal perbincangan dengan Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Filipina, Vietnam dan Hong Kong.
"Tiada masalah bagi kami untuk meneroka ke negara berkenaan," kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Kenshido, Jason Kok Min Chong dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Beliau berkata Kenshido juga meninjau pasaran Timur Tengah bagi produk E-esl dan telah berunding dengan beberapa pihak.
Selain memasuki pasaran antarabangsa, Jason berkata Kenshido akan mempromosikan produk itu secara agresif di Malaysia memandangkan terdapat permintaan yang besar bagi produk bahasa.
Syarikat pendidikan berkenaan menjual produk e-pembelajarannya, 'Score A', untuk murid tahun satu hingga pelajar tingkatan lima melalui sistem pemasaran secara langsung (MLM) dan mempunyai lebih 40,000 pengedar aktif di seluruh negara.
Program e-pembelajaran Kenshido membolehkan pelajar bersedia untuk peperiksaan dan sejak 10 tahun lepas berjaya menghasilkan ribuan pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR dan PMR.
Portal program Score A diterima oleh Kementerian Pelajaran dan berharga RM596 setiap satu, untuk langganan enam bulan.
Semasa mengulas lanjut, Jason berkata Kenshido akan melabur RM20 juta untuk mendirikan pejabat di bawah fasa pertama pelan pengembangan antarabangsanya.
"Kami yakin dapat menjana perolehan RM30 juta sebulan daripada negara-negara ini dalam masa dua tahun," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Jason berkata baru-baru ini Kenshido membeli bangunan tiga tingkat, Wisma Kenshido 2, pada RM6.5 juta untuk digunakan sebagai tempat latihan dan seminar.
Ia telah memiliki bangunan tiga tingkat bernilai RM4.3 juta, Wisma Kenshido 1, yang dijadikan ibu pejabat. Kedua-dua bangunan berkenaan terletak di Kota Damansara.
Jason berkata syarikat juga akan menggandakan pusat sokongan di seluruh negara kepada 30 menjelang pertengahan 2010.
"Kami merancang untuk melabur RM100,000 bagi setiap pusat. Sehingga kini kami mempunyai 30 pusat sokongan di seluruh negara," katanya.
Jason berkata pembukaan pusat sokongan perlu memandangkan perniagaan berkembang pantas dan penting bagi Kenshido menyediakan kemudahan sokongan kepada lebih 40,000 pengedarnya bagi meluaskan perniagaan.
-- BERNAMA
Gerbang E-Pembelajaran Dijangka Sumbang 30 Peratus Pendapatan Kenshido
KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kenshido International Sdn Bhd, syarikat tempatan pertama yang memulakan pendidikan dalam talian (webucation) pada 1999, yakin pelancaran gerbang e-pembelajarannya baru-baru ini bagi pelajar tingkatan empat dan lima akan menyumbang 30 peratus kepada pendapatan kumpulan pada Disember.
Dilancarkan pada akhir Ogos, syarikat itu yakin produk baharu tersebut akan menyumbang 40 peratus kepada keuntungan kumpulan tahun depan.
"Kami boleh mencapai sasaran ini kerana terdapat pasaran yang belum dimanfaatkan iaitu kira-kira 500,000 pelajar tingkatan empat dan lima.
"Ibu bapa juga memberi penekanan utama kepada pendidikan anak-anak mereka dan mahu memastikan mereka mendapatkan gred yang baik dalam peperiksaan awam, justeru itu gerbang e-pembelajaran merupakan suatu yang popular di kalangan pelajar dan ibu bapa," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kenshido, Jason Kok Min Chong dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama.
Beliau berkata syarikat tersebut melabur kira-kira RM1 juta untuk membangunkan produk format objektif itu dan akan terus melabur bagi memajukan format subjektif pada suku pertama 2010.
Program E-Pembelajaran Kenshido membantu para pelajar bersiap sedia sebelum menghadapi peperiksaan dan sejak 10 tahun lepas telah berjaya melahirkan beribu-ribu pelajar yang mendapat A penuh dalam peperiksaan UPSR dan PMR.
Syarikat pendidikan itu menjual produknya menerusi sistem pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan mempunyai lebih 40,000 pengedar aktif di seluruh negara.
Jason berkata kira-kira RM5 juta telah dilabur untuk membangunkan gerbang yang sama bagi pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga dalam tempoh 10 tahun lepas.
"Keseluruhannya, dengan peningkatan dalam pendapatan, bilangan pengedar dijangka meningkat berlipat kali ganda," katanya.
Mengenai prospek pasaran bagi perniagaan e-pembelajaran, Jason berkata ia menjangkakan persaingan yang kecil.
"Untuk mendapat penerimaan orang ramai menerusi pemasaran pelbagai peringkat memerlukan strategi yang betul dan usaha keras.
"Kami mengambil masa 10 tahun untuk membangunkan gerbang, rangkaian dan pasaran webucation yang kami ada hari ini. Justeru itu, kami menjangkakan persaingan yang kecil dalam perniagaan ini," katanya.
Mengenai pertumbuhan keseluruhan kumpulan Kenshido, Jason yakin pendapatan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2009, akan meningkat sebanyak 500 peratus.
"Kami berada di suku ketiga kami sekarang dan kami sudahpun menyaksikan kenaikan 300 peratus dalam keseluruhan pendapatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Dan saya yakin kami dapat mencapai sasaran ini pada akhir tahun, dinilai daripada kepantasan pergerakan kami, peperiksaan awam yang semakin dekat dan permintaan bagi gerbang program "Score A" kami yang semakin meningkat," katanya.
Gerbang program "Score A" itu disokong oleh Kementerian Pendidikan dan menelan kos RM596 setiap satu, bagi langganan enam bulan. Dua pelajar boleh mengakses gerbang itu pada satu masa.
Gerbang itu mengandungi soalan berasaskan topik, penilaian bulanan, peperiksaan ujian dan soalan tahun-tahun lepas untuk lebih daripada 10 tahun, bergantung kepada subjek.
Bagi pengedar, mereka boleh memilih untuk mendaftar dalam tiga kategori iaitu e-rakan kongsi bagi RM1788, e-usahawan bagi RM5548 dan e-max bagi RM10,800.
-- BERNAMA
Wednesday, October 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment